Pengurniaan gelaran Tengku Aris Temenggong Selangor Tengku_Muhammad_Yusof_Shah

Almarhum telah dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor pada tahun 1937 di awal usia 11 tahun oleh Paduka Ayahanda; Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Sir’ Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Mahkota Puri, Klang dan Istiadat ini disertai dengan kekanda dan adindanya yang lain serta Dato’ Kehormat.

Mengimbau sejarah pengurniaan gelaran Tengku Aris Temenggong Selangor ini telah dipilih dan dicadangkan sendiri oleh kekandanya iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Kelana Jaya Putra - Tengku Musa Uddin ( D.Y.M.M. Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, 1942 – 1945 ) selaku Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor pada ketika itu. Sebelum penganugerahan gelaran ini berikan, Paduka kekandanya telah mengadap kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Fatimah untuk memohon limpah perkenan bagi mengurniakan gelaran ini kepada Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah.

Baginda menyandang gelaran selama 80 tahun sebagai Temenggong dan menjadikan baginda paling lama dalam sejarah negara. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof merupakan Temenggong yang pertama di dalam Institusi Diraja Negeri Selangor semenjak terdirinya Kesultanan Negeri Selangor sekitar tahun 1743 setelah Raja Lumu dilantik sebagai Raja Kecil Jajahan Selangor Bergelar Yang Dipertuan (Raja Kecil), oleh ayahandanya iaitu Paduka Sri Raja Chelak Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga.